Sepasang suami isteri, meskipun hidup melarat, mereka taat kepada perintah Allah.
Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka tekun sekali. Si
Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi sudah beberapa
lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada habis-habisnya itu. Ia
memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia membayangkan alangkah senangnya
hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada suatu hari, lelaki yang alim itu
berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan. Di tengah perjalanan is melihat
sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni orang. Ia mendekat. Ternyata
orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang konon keramat dan sakti itu.
Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang meminta-minta agar suami
mereka setia atau dagangnya laris.
"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi.
"Ini harus dibanteras habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah
serta meminta selain Allah s.w.t.." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya
hairan, mengapa secepat itu suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu
dilihatnya si suami mengambil sebilah kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki
alim tadi bergegas keluar. Isterinya bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera
dinaiki keldainya dan dipacu cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat
pohon itu berdiri, tiba-tiba melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia
adalah iblis laknatullah yang menyerupai sebagai manusia.
"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis
laknatullah. Orang alim tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang
disembah-sembah orang bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji
kepada Allah s.w.t. akan menebang roboh pohon syirik itu." "Kamu
tidak ada apa-apa hubungan dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak
ikut-ikutan syirik seperti mereka. Sudah pulang sahaja." "Tidak
boleh, kemungkaran mesti dibanteras," jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis
laknatullah marah. "Akan saya teruskan!"
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya
terjadilah perkelahian antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau
melihat perbezaan badannya, seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh
dibinasakan. Namun ternyata iblis laknatullah menyerah kalah, meminta-minta
ampun. Kemudian dengan berdiri menahan kesakita dia berkata, "Tuan,
maafkanlah kekasaran saya. Saya tak akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang
pulanglah. Saya berjanji, setiap pagi, apabila Tuan selesai menunaikan
sembahyang Subuh, di bawah tikar sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat
dinar. Pulang saja berburu, jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"
Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat
dinar itu, lunturlah kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya
yang hidup tidak berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya.
Setiap pagi empat dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang
kaya. Mengingatkan desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah
niatnya semula hendak membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semejak pagi itu isterinya tidak pernah
marah lagi. Hari pertama, ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar
sembahyangnya. Betul di situ tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang
emas. Dia meloncat riang, isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat
dinar emas. Ketika pada hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka
tikar sembahyang, masih didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai
kecewa. Di bawah tikar sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar
pandan yang rapuh. Isterinya mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah
dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok
barangkali kita bakal dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya,
harap-harap cemas suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka
tikar sejadahnya kosong. "Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri.
"Ambil kapak, tebanglah pohon itu." "Ya, memang dia telah
menipuku. Akan aku habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan
daun-daunnya," sahut si alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya.
Sambil membawa kapak yang tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang
syirik itu. Di tengah jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar
tersebut sudah menghalang. Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana
kamu?" herdiknya menggegar.
"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan
gagah berani. "Berhenti, jangan lanjutkan." larang si iblis
laknatullah "Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu
tumbang." jawab lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi
kali ini bukan iblis laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam
kesakitan, si alim tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau
dapat mengalahkan saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?"
Iblis laknatullah itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu
boleh menang, kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah.
Andaikata kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan
mampu mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada
wang di bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu,
tidak mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan
nanti batang lehermu."
Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi
termangu-mangu. Ia merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas
kerana Allah s.w.t. lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya.
Dibatalkan niat semula untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya
yang sekarang adalah tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar
perjuangan yang semacam itu tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan
yang berlanjutan. Sebab tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi
keutamaan Allah s.w.t. dan agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama
untuk kepentingan hawa nafsu semata-mata ?
"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran,
hendaklah (berusaha) memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak
mungkin hendaklah berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak
mungkin pula, hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah
selemah-lemah iman."
Hadith Riwayat Muslim
No comments:
Post a Comment